HAVANA – Dia lagi kakitangan Jabatan Negara yang bertugas di Havana cedera, menyaksikan peningkatan bilangan kes berkaitan serangan mesteri terhadap kakitangan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Cuba meningkat kepada 24 kes.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert berkata, penilaian perubatan terbaharu membabitka insiden yang berlaku awal tahun ini.

“Ia tidak menggambarkan serangan baharu, katanya sambil menambah pengesahan kes perubatan terbaharu berlaku pada Ogos lalu.

Nauert menjangkakan bilangan mangsa akan meningkat.

“Kakitangan kami menerima penilaian dan peekhidmatan perubatan komprehensif. Kami tidak dapat menolak kemungkinan tambahan kes baharu ketika pegawai perubatan profesional terus melakukan penilaian ahli komuniti kedutaaan,” katanya.

Jabatan Negara berkata, warga Amerika yang bekerja di kedutaan merupakan sasaran serangan yang bermula akhir tahun lalu dan berterusan sehingga lewat musim panas tahun ini.

Mangsa merangkumi diplomat, pegawai risikan dan pasangan mereka.

Kadang kala simtomnya dikenalpasti selepas beberapa bulan serangan berlaku, termasuk hilang pendengaran, masalah mengimbangi badan dan kecederaan pada otak.

Dalam beberapa kes, kakitangan kedutaan jatuh sakit selepas mendengar bunyi pelik, sama ada di kediaman mereka ataupun di hotel.

Senario itu mencetuskan spekulasi bahawa mereka mungkin menjadi mangsa kepada serangan dalam bentuk sonik namun siasatan tidak dapat membuktikannya.

Kerajaan Cuba, yang menafikan mempunyai kaitan dengan kecederaan itu, telah membenarkan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di pulau itu melakukan siasatan, selain melakukan siasatan sendiri.

Bagaimanapun, ia tidak dapat menentukan puncanya, jauh sekali sumbernya. – MalaysiaGazette