Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik (dua kiri) memeriksa barang misi bantuan yang akan dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh sempena Pelancaran misi ketiga Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya di Pangkalan MAS Kargo, Sepang. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2017.

SEPANG – Malaysia terus menunjukkan sokongan padu kepada rakyat Islam Rohingya yang ditindas dengan menyalurkan bantuan sebanyak 56.6 tan berupa bantuan keperluan harian kepada pelarian yang sedang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Buat kali ketiga, misi ini dikoordinasikan oleh 1Malaysia for Youth (iM4U) dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya” itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Beliau meluangkan masa selama setengah jam bagi meninjau persiapan bantuan berkenaan.

“Malaysia bertegas menyuarakan bantahan terhadap penindasan etnik Rohingya di Myanmar dan menyeru negara-negara lain untuk segera menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Bangladesh,” ujar Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail, dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali.

Antara bantuan keperluan yang dihantar ke Bangladesh adalah barang keperluan harian seperti biskut, tuala wanita, sabun, berus gigi, lampin pakai buang, selimut dan beberapa keperluan lain.

Barangan tersebut akan dihantar ke Bangladesh melalui penerbangan MAB Kargo A330-300.

Pengagihan barang-barang keperluan ini di Bangladesh akan diuruskan oleh iM4U, mewakili Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama pihak kerajaan Bangladesh.

Awal September lalu, Najib membuat pelepasan tim tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh di Pangkalan Udara Subang.

Pesawat MAS Kargo A330-300 yang akan membawa barang misi bantuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh sempena Pelancaran misi ketiga Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya di Pangkalan MAS Kargo, Sepang. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2017.

Dalam bantuan itu, seberat 12 tan telah diberikan kepada pelarian Rohingya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan membina sebuah hospital medan di Cox’ Bazar, Bangladesh.

Ia dalam usaha untuk menyediakan bantuan perubatan serta membantu pesakit-pesakit yang terdiri daripada pelarian-pelarian Rohingya.

Misi bantuan dijangka berlepas jam 2.45 petang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh pada 4.25 petang waktu Malaysia. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast