Anisah Muddakir, 30, berkata kali terakhir bapa saudaranya itu bertemu dengan anak-anaknya ialah dua tahun lepas.
“Mamang (Erwin) dah bekerja di Malaysia sejak enam tahun lalu dan dia hanya pernah pulang sekali sahaja ke kampung di Surabaya, Indonesia untuk bertemu anak lelaki dan perempuannya yang kini berusia 12 dan tujuh tahun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi tanah runtuh itu hari ini.
Anisah yang berada di kawasan itu menunggu operasi mencari dan menyelamat dijalankan bersyukur kerana jasad bapa saudaranya telah ditemukan.
Mayat Erwin Salis, 33, yang tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik semalam ditemukan pada kira-kira 2.45 pagi ini.
Erwin ialah antara 11 pekerja binaan pelbagai negara dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira 8.57 pagi semalam. Operasi mencari dan menyelamat lima lagi mangsa yang tertimbus masih diteruskan.
Mayat Erwin dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Anisah berkata bapa saudaranya itu seorang yang suka membantu orang lain dan tidak lokek dengan senyuman.
“Kami sekeluarga pasti akan merindukan gurauan dan senyuman mamang,” katanya dengan sayu.- BERNAMA