KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti disarankan untuk mewujudkan silibus integriti bagi memberi pendidikan dan penekanan kepada mahasiswa tentang pentingnya nilai murni tersebut dalam kehidupan dan masyarakat.
Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan Integriti, Hamilye Sham Harun berkata, tiada modul khusus mengenai integriti diajar di pusat-pusat pengajian tinggi ketika ini sedangkan berdasarkan hasil kajian yang “Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah” yang dilakukan oleh badan itu mendapati masih terdapat segelintir pelajar yang tidak memahami konsep rasuah.
“Di universiti-universiti terdapat unit integriti dan ada pegawai mereka sendiri jadi saya merasakan peegawai-pegawai ini patut mengambil fakta ini secara serius.
“Apabila mereka didedahkan dengan subjek integriti pada tahun pertama diploma atau ijazah atau sarjana sekali pun, ia akan menjadi input yang baik kepada mahasiswa meskipun ianya hanyalah subjek 1 jam kredit sahaja.
“Ini akan membuatkan mahasiswa merasakan integriti tidak boleh dibuat main-main, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan adalah contoh-contoh tiada nilai integriti,” katanya dalam temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette di sini.
Menurut Hamilye, suatu ketika dahulu, pihak integriti sering dipanggil untuk memberi taklimat kepada mahasiswa semasa minggu suai kenal namun aktiviti tersebut kini telah dihentikan.
Namun selepas melihat kepada perkembangan semasa, beliau merasakan terdapat keperluan supaya modul tersebut dibawa semula ke institusi-institusi pengajian tinggi.
“Kita faham mengenai kehidupan seorang mahasiswa, mereka seorang yang sibuk. Perlu menghadiri kelas, tutorial dan sebagainya.
“Kadang-kadang ada yang mengambil jalan mudah dengan melakukan plagiarism dan ini menunjukkan mereka tidak mempunyai integriti,” katanya lagi.
Menurut Hamilye, modul integriti telah mula diajar di peringkat sekolah namun tidak disambung ke peringkat pengajian tinggi.
Beliau mengulas mengenai hasil kajian Integriti yang dikeluarkan pada Julai lalu yang mendapati generasi muda khususnya mahasiswa masih cetek pengetahuan mengenai rasuah.
Apa yang menyedihkan, satu pertiga daripada mereka tidak menganggap perbuatan memberi “hadiah” sebagai kesalahan.
Kajian melibatkan 402 pelajar melibatkan 33.1 peratus dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia (47.5 peratus), Universiti Teknologi MARA (15.9 peratus) dan selebihnya dari universiti lain, mendapati golongan ini tidak menganggap beberapa perkara umum yang dikenali sebagai rasuah sebagai kesalahan.
Ia dijalankan untuk menilai persepsi dan kefahaman mahasiswa masa kini mengenai rasuah di Malaysia sebagai usaha memahami pemikiran generasi pemimpin akan datang.
Kajian itu mendapati 35.8 peratus responden menyatakan perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan kesalahan rasuah.-MalaysiaGazette