Zainal Abidin Osman

KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP Pulau Pinang dibidas sebagai angkuh kerana tidak mengendahkan cadangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tidak diteruskan pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah yang terlibat dalam insiden tanah runtuh baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang (MTPNPP), Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak meluluskan dengan mengambilkira pandangan JAS kemungkinan insiden sedemikian tidak akan berlaku.

“Kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab dan akauntabel di atas kecelakaan melibatkan kehilangan 11 nyawa yang telah berlaku pada Sabtu lalu akibat keangkuhan mereka telah mengenepikan pandangan Jabatan Alam Sekitar.

“Kecelakaan yang berlaku bukan satu kemalangan biasa di tempat kerja. Ia tidak mungkin berlaku sekiranya projek pembinaan ini tidak diluluskan. MTPNPP mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa dalam tragedi runtuhan cerun itu,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Satu surat daripada JAS Pulau Pinang bertarikh 23 Januari 2015 tidak menyokong projek perumahan di tapak tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah.

Menerusi surat itu, JAS menolak rayuan bagi pembinaan projek tersebut kerana jarak antara tapak projek dengan kawasan operasi kuari terlalu hampir iaitu kira-kira 169 meter.

Zainal Abidin juga mahu satu badan bebas ditubuhkan untuk mengaudit semua kelulusan projek-projek pembangunan di kaki, lereng dan cerun bukit seluruh Pulau Pinang.

“Seharusnya tiada kelulusan untuk sesuatu permohonan kebenaran merancang jika tidak mendapat sokongan semua jabatan teknikal yang terlibat.

“Sehubungan itu, Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa segera menubuhkan satu Badan Bebas untuk mengaudit semua kelulusan projek-projek pembangunan di kaki, lereng dan cerun bukit yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri di seluruh negeri Pulau Pinang,” katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi Sabtu, 11 pekerja di sebuah tapak binaan di Tanjung Bungah di sini maut ditimbus tanah runtuh ketika bekerja berhampiran lereng bukit di lokasi kejadian.

Mayat kesemua mangsa terdiri daripada 10 warga asing dan seorang rakyat tempatan itu berjaya dijumpai pasukan mencari dan menyelamat dengan mayat terakhir dijumpai kira-kira pukul 7 pagi tadi.- MalaysiaGazette

Comments are closed.