KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengakui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengalami masalah tetapi kerajaan telah mengambil tindakan merombak pengurusan untuk membetulkan kesilapan dan mengembalikan kepada keadaan kewangan yang sihat.
Tetapi, Datuk Seri Najib Razak berkata, apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani, 1MDB akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya.
“Dan pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB akan terkubur.
“Ini kerana selepas program rasionalisasi selesai, 1MDB berkemungkinan besar akan menjana keuntungan untuk rakyat dan ini tidak termasuk segala usaha tanggungjawab sosial korporat yang telah dilaksanakannya selama bertahun-tahun,” kata Najib menerusi blognya hari ini.
Menurut Najib, 1MDB telah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.
Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang.
Malah, kata Najib, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk “Tiada lagi perjanjian pilih kasih”.
Selain itu, 1MDB telah membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan pada masa dahulu.
Ia juga telah membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan haji untuk para jemaah. – MalaysiaGazette