KUALA LUMPUR – Sekumpulan NGO bersama penjaja Bukit Ampang Saujana yang disita beberapa kali oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Wakil NGO, yang juga Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah bersama 13 orang peniaga tersebut mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya SUHAKAM, Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh.
Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Nik Salida menerima aduan tersebut seterusnya akan mengambil tindakan berhubung kes yang didakwa sebagai penganiayaan dan pencabulan hak asasi kumpulan peniaga tersebut.
“Kami hadir ke SUHAKAM untuk membawa kes peniaga-peniaga kecil Ampang yang teraniaya. Perkara ini serius, mereka disaman RM12,000 pada tahun lepas, hari ini pula didatangi saman RM20,000.
“Persoalan saya, kenapa mereka ini dijadikan musuh oleh PBT dan kerajaan negeri Selangor, tidak seperti peniaga-peniaga lain di Ampang. Apa yang saya tahu, PBT banyak mengeluarkan lesen (perniagaan) sementara, tapi kenapa tidak boleh diberi kepada kumpulan peniaga ini?
“Kita hadir ke SUHAKAM hari ini untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada SUHAKAM berikutan perkara ini merupakan satu penganiayaan kerana dikompaun berpuluh ribu, barang perniagaan disita dan sebagainya,” kata Azwanddin kepada pemberita selepas sesi pertemuan tersebut.
Pada 9 Febuari tahun ini, sekumpulan peniaga tersebut bersama beberapa NGO telah menyerahkan memorandum kepada Yang dipertua MPAJ, Abd. Hamid Hussain.
Tujuan perjumpaan itu untuk mendesak PBT terbabit mengadakan perbincangan bersama pihak peniaga untuk menyelesaikan kemelut yang berlarutan selama hampir lima tahun.
Penjaja yang sudah bertapak di tapak tersebut selama 10 tahun bagaimanapun mendakwa, sehingga kini, pihak kerajaan Selangor, PBT dan pejabat Ahli Parlimen Ampang gagal menyelesaikan masalah tersebut.
Sebaliknya, peniaga pula dikenakan kompaun sebanyak dua kali, RM12,000 pada tahun 2016 dan yang terbaharu sebanyak RM20,000 sehingga menjadi punca kemarahan kumpulan peniaga tersebut.
Salah seorang peniaga, Sani Salleh, 58, ketika ditemui mengharapkan agar pertemuan bersama dengan SUHAKAM tersebut berjaya menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh pihaknya selama ini.
Menurutnya, kawasan perniagaan tersebut menjadi tumpuan orang ramai dan bebas daripada sebarang ancaman kemalangan mahupun risiko keracunan makanan seperti yang didakwa sebelum ini oleh Ahli Palimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.-MalaysiaGazette