Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Timbalan Presiden Pakatan HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan menunjukkan buku Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 pada sidang media pembentangan bajet oleh pihak Pakatan Harapan di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan bajet alternatif mereka dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan pada paras RM258.52 bilion dengan tawaran untuk memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tol.

Daripada jumlah tersebut, pembangkang memperuntuk RM200.16 bilion untuk tujuan mengurus dan RM58.35 bilion untuk belanja pembangunan.

Pembangkang dalam tawaran bajet mereka seperti biasa membuat tawaran populis untuk mendapatkan sokongan rakyat memandangkan ini merupakan bajet terakhir sebelum PRU-14 yang dijangka diadakan tahun depan.

Dalam pembentangan bajet hari ini, PH menggariskan beberapa langkah untuk mendapatkan semula hasil akibat daripada penghapusan GST dimana dijangka sebanyak RM42 bilion pendapatan negara akan disumbang melalui hasil cukai percukaian tersebut.

Antaranya, pembangkang berkata mereka akan bergantung kepada Cukai Pendapatan Syarikat (CITA), meningkatkan duti import serta eksais dan bergantung kepada Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT).

Selain itu, pembangkang juga mendakwa mereka akan menghapuskan rasuah dan dengan itu mereka dapat mengelakkan pembaziran yang dianggarkan RM20 bilion daripada ketirisan yang berlaku.

Semua jalan bertol di Malaysia juga bakal dimansuhkan dengan pembangkang akan membeli balik konsesi diberikan kerana ia adalah lebih kos efektif.

Subsidi minyak juga dijanjikan akan dikembalikan dalam bajet bagaimanapun ia akan disasarkan kepada kumpulan B40 yang dihadkan untuk motosikal dan kereta kecil bawah 1,000cc.

Pembangkang dalam pembentangan bajet mereka juga menawarkan pendidikan percuma tetapi ia hanya diaplikasi selepas 10 tahun menjadi kerajaan pusat.

Bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula, pembangkang menawarkan untuk menyusun semula sistem tersebut dengan melaksanakan sistem bayaran balik berdasarkan pendapatan.

Graduan baharu yang menerima gaji RM4,000 sebulan ke bawah tidak perlu membayar faedah pinjaman mereka dan bayaran balik pinjaman hanya akan bermula sebaik sahaja gaji mereka melebihi RM4,000 sebulan.

Dalam pada itu, pembangkang juga menawarkan untuk meningkatkan kadar royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Pembentangan bajet oleh pembangkang hari ini dibuat sebagai perbandingan dengan bajet kerajaan pusat yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini. – MalaysiaGazette