Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao.
KUALA LUMPUR – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Tun Mahathir dicabar mengembalikan hasil keuntungan perniagaan minyak menerusi Petron Malaysia kepada rakyat jika benar-benar menentang Barisan Nasional.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, jika benar Pakatan Harapan berjuang untuk rakyat, mereka perlu membuktikannya bermula dengan kekayaan anak-anak Mahathir untuk membantu rakyat.
“Saya melihat sebenarnya pakatan pembangkang lebih layak membantu rakyat yang tertindas ini kerana parti-parti dalam pembangkang ini kaya-raya.
“Saya meminta anak-anak Mahathir menyerahkan kekayaan dan keuntungan mereka hasil perniagaan mereka kepada rakyat Malaysia untuk membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 2012, Mokhzani dipercayai menggabungkan syarikatnya Kencana Petroleum dengan SapuraCrest yang dikendalikan kawan zaman kanak-kanaknya Shahril Shamsuddin.
Bagaimanapun Januari 2014, Mokhzani meletakkan jawatan dan menumpukan perhatian kepada pelaburan yang lain.
Pada bulan berikutnya, beliau mengurangkan kepentingannya dalam SapuraKencana, penyedia perkhidmatan minyak dan gas terbesar negara, menjual saham bernilai AS$248 juta (RM1.04 bilion).
Ramesh juga mendakwa Mokhzani bukan sahaja menjadi ahli lembaga pengarah dalam Sapura Kencana bahkan mempunyai kepentingan syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan syarikat kabel gantian optik, Opcom Holdings.
“Mokhzani juga seorang pelabur asas dalam IHH Healthcare dan Astro Malaysia Holdings.
“Jika jual saham sahaja sudah berbilion, beliau pasti sudah mengumpulkan banyak kekayaan hasil dari perniagaan berkenaan selama terlibat dengan syarikat itu.
“Keuntungan itu, elok dipulangkan kepada rakyat untuk membantu meringankan beban mereka selaras dengan penglibatan Dr Mahathir dalam politik dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya.
Beliau juga mendakwa, Tan Sri Mirzan Mahathir yang terlibat dalam perniagaan minyak dan petroleum menerusi syarikat Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad (Petron Malaysia).
“Syarikat Petron Corporation dan San Miguel Corporation sudah mengesahkan bahawa Mirzan adalah Ahli Lembaga Syarikat induknya iaitu Petron Corporation Filipina.
“Mirzan dipilih sebagai Pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010. Sudah pasti Mirzan juga adalah jutawan dalam perniagaan berkaitan minyak ini.
“Jadi, saya tidak keterlaluan untuk meminta mereka untuk mengembalikan kekayaan mereka dalam industri petroleum untuk rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Comments are closed.