KUALA LUMPUR – Pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pengendali pelancongan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2020.

Selain itu, galakan pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Perdana Menteri berkata, Bajet 2018 turut memperuntukkan sejumlah RM2 bilion kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

Sejumlah RM1 bilion kepada Tabung Pembangunan Infrastrutur Pelancongan sebagai pinjaman mudah.

Datuk Seri Najib Razak berkata, bajet itu turut menyediakan sejumlah RM500 juta bagi program pembangunan dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur pelancongan homestay dan program eko-pelancongan.

Bagi memperkukuhkan industri pelancongan kesihatan, sejumlah RM30 juta disediakan kepada Majlis Penjagaan Kesihatan Malaysia untuk mempromosi negara sebagai hab rawatan kesuburan termasuk IVF dan Kardiologi Asia.

Bajet 2018 juga memperuntuk galakan elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus bagi pelancongan kesihatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Insentif khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50 peratus ke 100 peratus dari nilai peningkatan eksport bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020. – MalaysiaGazette