KUALA LUMPUR – Anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada 2018 adalah RM280.2 bilion iaitu 5.4 peratus lebih tinggi berbanding RM265.9 bilion pada tahun ini.

Sebanyak RM234.2 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018.

Peruntukan untuk emolumen berjumlah RM79.1 bilion manakala sejumlah RM61.3 bilion bagi perbelanjaan tanggungan terutama bayaran khidmat hutang (RM30.9 bilion), bayaran persaraan (RM24.5 bilion), pemberian dan serahan berdasarkan perlembagaan kepada kerajaan negeri (RM5.7 bilion).

Sementara sejumlah RM33.6 bilion dan RM577 juta akan diperuntukkan bagi bekalan dan perkhidmatan serta pembelian aset.

Jumlah subsidi dan bantuan sosial dijangka meningkat kepada RM26.5 bilion atau 11.3 peratus daripada perbelanjaan operasi.

Peruntukan perbelanjaan pembangunan pada 2018 kekal RM46 bilion atau 17.7 peratus daripada siling Rancangan Malaysia ke-11, bertujuan membiayai pelaksanaan projek dan program di bawah sektor ekonomi (57.3 peratus), sosial (25.5 peratus), keselamatan (11.3 peratus) dan pentadbiran am (5.9 peratus).

Sektor ekonomi kekal dengan peruntukan terbesar iaitu RM26.3 bilion dengan perbelanjaan ditumpukan kepada pembangunan infrastruktur awam dan jaringan pengangkutan (RM10.5 bilion), perdagangan dan perindustrian (RM4.1 bilion) serta pertanian dan pembangunan luar bandar (RM2.5 bilion).

Meskipun kedudukan kewangan kerajaan am disatukan dianggarkan mencatat defisit, namun ia akan dibiayai melalui rizab terkumpul serta pinjaman Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 111 dan 112 Perlembagaan, semua kerajaan negeri kecuali Sabah dan Sarawak hanya dibenarkan meminjam daripada atau dengan kebenaran Kerajaan Persekutuan.

Badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pula boleh meminjam dengan kebenaran Kerajaan Persekutuan.

Peruntukan ini juga membolehkan pendedahan terhadap risiko kredit dan defisit kerajaan am terkawal di peringkat Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette