Home #Bajet2018 Sistem perbankan negara kukuh

Sistem perbankan negara kukuh

KUALA LUMPUR – Keupayaan sistem perbankan untuk menyerap kerugian terus kukuh disokong oleh kedudukan permodalan yang tinggi.

Prestasi positif itu disokong antaranya oleh penggunaan teknologi baharu dan tenaga kerja yang optimum.

Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, keuntungan sebelum cukai sistem perbankan meningkat 4.2 peratus kepada RM19.8 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2017 berikutan peningkatan
pendapatan dalam aktiviti pengantaraan dan berasaskan fi.

Kualiti pinjaman sistem perbankan pula kekal stabil sepanjang tempoh tersebut dengan Nisbah Pinjaman Terjejas Bersih mencatat 1.2 peratus pada akhir Julai 2017.

Nisbah Perlindungan Kerugian Pinjaman sistem perbankan pula berada pada 81.4 peratus.

Sistem perbankan mengekalkan penampan yang mencukupi untuk menampung sebarang kemungkinan kerugian kredit dengan mengambil kira rizab pengawalseliaan bagi pinjaman dan
pembiayaan.

Kecairan sistem perbankan kekal mencukupi dengan lebihan ringgit di Bank Negara Malaysia berada pada RM180 bilion berbanding RM184.5 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Jumlah ini boleh disalurkan bagi memenuhi keperluan kecairan.

Dalam pada itu, Malaysia katanya, telah mencapai kemajuan pesat dalam mempercepat peralihan daripada pembayaran berasaskan tunai kepada pembayaran elektronik dalam usaha
membangunkan ekonomi digital.

Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada 22 Mac 2017 serta kemasukan penyedia perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) global dijangka mengubah landskap sistem
pembayaran di Malaysia.

“Peralihan daripada kad pembayaran berasaskan tandatangan kepada pembayaran berasaskan PIN telah berkuatkuasa 1 Julai 2017 bagi meningkatkan ciri keselamatan kad pembayaran,” katanya.

Selain itu institusi kewangan pembangunan (DFI) terus menyumbang perkembangan ekonomi melalui pertumbuhan pembiayaan memberangsangkan.

Langkah kehematan telah ditambah baik selaras dengan Akta Institusi Kewangan Pembangunan (Pindaan) 2015 bagi meningkatkan daya tahan dan keberkesanan DFI terutamanya dalam tadbir urus korporat, transaksi pihak berkaitan dan audit dalaman.

Pada akhir Julai 2017, jumlah pembiayaan terkumpul DFI meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM143.7 bilion berbanding RM138 bilion tempoh sama tahun lalu disokong oleh pertumbuhan dalam sektor isi rumah, pembinaan dan pertanian.- MalaysiaGazette