KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembinaan fizikal projek East Coast Rail Link atau ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan akan bermula pada Januari tahun depan.
Projek yang membawa limpahan ekonomi di antara bandar dan luar bandar itu mampu membawa muatan kargo dan 24 penumpang dalam tempoh empat jam.
Perdana Menteri berkata, sejumlah RM110 juta diperuntukkan untuk menyedia jalan alternatif ke Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan pengangkutan dan projek MRT2 jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dengan jarak 52 kilometer meliputi 37 stesen dengan anggaran kos RM32 bilion.
“Selain itu, kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
“Bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021 manakala projek rel berkelajuan tinggi menghubungkan Kuala Lumpur –
Singapura sejauh 350 kilometer dalam masa 90 minit, dijangka memanfaatkan rakyat menjelang 2026,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Tambahnya, berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan kos RM5 bilion.
Projek Central Spine Road pula diperuntukan sejumlah RM230 juta untuk tahun 2018 bagi meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang.
Pulau Pangkor di Perak sebagai Pulau Bebas Cukai, bagaimanapun, ia tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor dan bagi merancakkan ekonomi di bahagian Utara, Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan.
Pembangunan ini turut merangkumi Zon Perindustrian Bebas yang akan menjadi tarikan baharu kepada pelabur dari dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette