KUALA LUMPUR – Ramai peguam menawarkan diri mewakili Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Muslim Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi yang didakwa di mahkamah baru-baru ini.
Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamudin Hashim berkata dia telah menerima banyak panggilan dan tawaran untuk membela Yusuf sejak ‘orang kuat’ persatuan itu didakwa dalam kes melibatkan pajak gadai kereta.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 20 peguam yang terdiri rakan-rakannya menawarkan diri atas kehendak mahu membantu perjuangan Yusuf.
Beliau berkata demikian pada majlis Munajat, Solat Hajat dan Solidariti PPIM di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.
Pada majlis itu, ramai wakil-wakil NGO terutama berlatarbelakang Islam hadir memberi sokongan termasuk wakil-wakil parti politik seperti Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohamad Khalil Abdul Hadi (gambar bawah).
Sementara itu, Yusuf pula terharu dengan sokongan yang diterima dan berharap ‘perjuangan’ pengguna Islam di negara ini dapat dipertahankan termasuk usaha membanteras penipuan.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas panjang mengenai apa yang berlaku kepadanya kerana mendakwa ‘malu’ dengan bosnya, Datuk Nadzim Johan yang juga Ketua Aktivis PPIM yang hadir pada majlis yang sama.- MalaysiaGazette