Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Peruntukan maksima RM250 seorang bagi Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) menunjukkan komitmen tinggi kerajaan di dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh serta sokongan kukuh untuk meningkatkan penyertaan skim tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, langkah kerajaan itu amat dialu-alukan kerana selama ini, entiti itu sangat bimbang terhadap kesejahteraan 13.7 juta rakyat Malaysia yang tidak dilindungi oleh sistem pelindungan sosial secara formal atau holistik.

“KWSP sentiasa berada di barisan hadapan dalam pelindungan sosial dan kami sangat bimbang terhadap nasib 13.7 juta rakyat yang tidak dilindungi secara formal.

“Dengan itu, kami amat mengalu-alukan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri ini kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahril mengulas mengenai pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peningkatan sumbangan kerajaan dalam SP1M sebanyak 15 peratus atau maksima RM250 seorang untuk setahun selama lima tahun bermula pada 2018 sehingga 2022.

SP1M yang diperkenalkan pada 2010 direka untuk rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi mahukan sebuah dana persaraan yang selamat.

Para individu boleh melakukan caruman secara sukarela sekurang-kurangnya RM50 dengan maksima caruman sebanyak RM60 setahun ke dalam akaun SP1M masing-masing.

Pemegang SP1M menikmati faedah yang sama seperti ahli KWSP seperti kadar dividen yang sama dan manfaat kematian sebanyak RM2,500.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast