Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
KUALA LUMPUR – Pas menuntut kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengagih dan menggunakan perbelanjaan negara menerusi Bajet 2018 dengan seimbang dan berhemah.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, walaupun ia bukan sesuatu luar biasa dengan pelbagai insentif dan peruntukan, namun kerajaan diingat agar tidak mengguna helah baharu untuk terus memerah keringat rakyat.
“Tanpa agihan dan peruntukan, bagaimanalah sebuah kerajaan itu mahu membangun-makmurkan negara. Cuma malang jika bajet itu hanya bersifat gali lubang di sana dan tutup lubang di sini.
“Beri di sini, minta di sana. Bagi hari ini, kutip hari esok. Akhirnya Pi Mai Pi Mai Tang Tu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nasrudin berkata, walaupun Bajet 2018 bukan untuk mendepani pilihan raya umum akan datang, namun Kerajaan Barisan Nasional perlu melunaskan jumlah angka yang diumumkan itu sampai kepada golongan sasaran.
“Saban tahun Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai bentuk rupa ketirisan, kerugian, pembaziran, perbelanjaan yang tidak bijak dan sebagainya.
“Belum lagi kita menghitung laporan dari SPRM. Ada sahaja kes penyalahgunaan dana, rasuah dan sebagainya melibatkan pemimpin negara, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan,” katanya.
Nasrudin turut berkata, Pas tidak mahu Bajet 2018 menjadi belanjawan ‘indah khabar dari rupa’ apabila penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam terus berleluasa sebagaimana tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Situasi ini belum ada sudahnya malah semakin menjadi-jadi. Negara kita masih cedera parah dan belum sembuh sehingga ke saat ini. Akhirnya, bajet yang dibentang hanya indah di hari pembentangan.
“Gegak di sebalik sorak-sorai aneka slogan. Senyum lebar rakyat setelah mendengar pelbagai angka yang bakal dinikmati hanya bertahan seketika, kemudian kembali bermuram durja bagai menanti bulan jatuh ke riba,” katanya.
Katanya lagi, Pas memberi jaminan akan mengambil bahagian secara aktif dan konstruktif dalam perbahasan Bajet 2018 sepanjang sidang Parlimen kali ini.
“Sikap kita mudah, yang baik untuk negara dan rakyat kita sokong. Sementara yang tidak memulangkan manfaat kepada negara dan rakyat, kita bantah, kritik dan tegur kerajaan melalui perbahasan di Parlimen kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast