Ketua Pengarah Bomba, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim

BENTONG – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memohon supaya peruntukan tambahan dapat disalurkan kepada pasukan bomba sukarela (PBS) bagi melancarkan operasi mereka.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata setakat ini pihaknya menerima RM1.077 juta setahun untuk diagihkan kepada 370 PBS di seluruh negara, manakala RM128 juta diperuntukkan untuk menyediakan insurans perlindungan berkelompok.

“Peruntukan ini diberikan untuk meringankan beban pengoperasian PBS dan digunakan untuk menyelenggara peralatan serta menampung kos minyak. Wang ini tidak mencukupi jika mereka mahu membaiki balai bomba atau menukar peralatan.

“Kita harap perkara ini diberi pertimbangan kerana sumbangan bomba sukarela tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit dan mereka yang melibatkan diri terdiri daripada mereka yang mahu berbakti kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Konvensyen Bomba Sukarela Zon Timur di Janda Baik di sini , yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Wan Mohd Nor menambah peranan PBS tidak terhad kepada membantu pihak bomba dalam situasi kebakaran dan kecemasan sahaja tetapi juga meliputi pemeriksaan pili bomba, pasca kemalangan dan menjalankan khidmat sosial masyarakat di tempat mereka ditubuhkan.

Sebagai contoh, PBS Pahang telah melakukan pemeriksaan terhadap 260 pili bomba di seluruh negeri setakat Oktober ini selain melaksanakan kempen kesedaran awam dalam pencegahan kebakaran, katanya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan rang undang-undang untuk meminda Akta Bomba 1988 (Akta 341) berkaitan pendaftaran PBS yang kini pendaftarannya masih di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan dibacakan pada sidang Parlimen akan datang.

“Kita berharap apabila PBS didaftarkan terus di bawah bomba, ia akan melancarkan urusan pemberian bantuan dan pemantauan terhadap aktiviti yang dijalankan pasukan ini,” katanya.

Mengulas mengenai konvensyen itu, Wan Mohd Nor berkata ia disertai oleh 50 PBS dari Pahang, Terengganu dan Kelantan dan antara pengisian baharu program itu ialah PBS Fire Fighting Challenge, yang dilaksanakan mengikut kawasan operasi pasukan terbabit bertugas. – MalaysiaGazette