Raja Sara Petra

KUALA LUMPUR – Anak perempuan Raja Petra Kamarudin, Raja Sara tetap dengan pendiriannya mempertikaikan kredibiliti Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sampai sekarang tidak mahu membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam isu sogokan RM5 juta.

Sebelum itu, Raja Sara yang juga penganalisis politik itu telah memuatnaik rakaman video di Facebook terhadap Syed Saddiq berhubung isu yang sama.

Kenyataannya itu dibuat bukan kerana ada masalah dengan Syed Saddiq tetapi hanya pandangan peribadinya sahaja.

“Saya tidak ada masalah dengan sesiapa. Cuma maksud saya, bila pihak sebelah (pembangkang) dah berlaku sesuatu, itu sebab saya tulis macam itu di Facebook,” katanya kepada MalaysiaGazette petang tadi.

Sebelum itu, Raja Sara mengadakan sidang media mengenai pertandingan melukis dan mewarna bertemakan 2050 Malaysiaku di Ibupejabat PGRM di sini.

Menurut Raja Sara, apa yang cuba dibangkitkan dalam rakaman itu adalah menggesa Syed Saddiq supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berlaku unsur sogokan sepertimana yang didakwa.

“Kalau dia tahu ada rasuah berlaku dia patut buat laporan ke SPRM. Kalau tak buat laporan bermakna kamu selindung.

“Dengan undang-undang yang kita ada, kalau ada ugutan lapor kepada polis. Kalau dia buat laporan polis, SPRM tidak boleh bertindak. Jadi dia kena lapor ke SPRM,” tegasnya lagi.

Pada 4 Oktober lepas, Syed Saddiq dalam sidang medianya mendakwa diancam oleh individu yang mengugut keluarganya agar beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Armada dan politik .

Syed Saddiq turut membuat laporan polis terhadap ancaman yang dibuat terhadap diri dan ahli keluarganya oleh pihak yang menawarkan RM5 juta kepadanya untuk meninggalkan PPBM.

Terdahulu, dalam sidang medianya Sara yang merupakan koordinator program dialog berkenaan berkata, pertandingan melukis anjuran Persatuan Penggerak Perpaduan Malaysia (PPPM) itu diadakan sempena Dialog Transformasi Nasional 2050.

Ia menyasarkan penyertaan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Pertandingan tersebut akan diadakan pada Sabtu ini di Dewan Selangor, Tingkat 4, Menara PGRM, Jalan Pudu Hulu, Cheras pukul 9 pagi.

Pihak penganjur katanya, mensasarkan sebanyak 200 penyertaan dan setakat ini sudah ada 100 penyertaan yang diterima secara online.

Pemenang-pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan. – MalaysiaGazette

Syed Saddiq dakwa ‘diumpan’ RM5 juta tinggalkan PPBM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.