Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 28 tahun itu dipercayai menembak mangsa yang dikenali sebagai Zubir, 32, warga Indonesia di tempat kerjanya di kedai mencuci kereta di Felda Keratong 2 di sini pada tengah malam 24 Okt lalu.

ROMPIN – Seorang individu ditahan selepas disyaki menembak mati suami kepada teman wanitanya selepas mengetahui rancangan si suami membawa isterinya pulang semula ke Indonesia.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 28 tahun itu dipercayai menembak mangsa yang dikenali sebagai Zubir, 32, warga Indonesia di tempat kerjanya di kedai mencuci kereta di Felda Keratong 2 di sini pada tengah malam 24 Okt lalu.

“Suspek dipercayai menembak mangsa menggunakan senapang patah buatan sendiri dari jarak kira-kira lima meter yang menyebabkan mangsa cedera parah di muka dan kepala.

“Mangsa meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 12.30 tengah hari Rabu lalu manakala suspek melarikan diri selepas kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin hari ini.

Azli menambah suspek ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Malim pada pukul 12.30 tengah malam Jumaat yang dipercayai mahu pulang ke kampung halamannya di Bedong, Kedah dengan menunggang motosikal.

Mangsa ditahan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Rompin dengan bantuan Unit Khas (D9) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, katanya.

“Siasatan awal mendapati isteri mangsa mengakui hubungannya dengan suami mengalami masalah dan mula menjalin hubungan dengan suspek sejak empat bulan lalu semasa kedua-duanya bekerja di kedai makan yang sama.

“Mangsa dapat mengetahui mengenai hubungan itu dan memujuk isterinya untuk pulang ke Acheh bagi memulihkan semula hubungan mereka,” katanya.

Azli menambah polis juga menahan isteri mangsa yang berusia 32 tahun dan dua lelaki yang berusia 48 serta 32 tahun yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan.

“Siasatan ke atas suspek lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan mangsa membawa kepada penemuan senjata yang digunakan yang disorokkan di Ladang Sungai Guan, Kota Bahagia di di sini,” katanya.

Azli menambah polis turut merampas tiga butir peluru, satu kelonsong dan skru pemutar yang dipercayai digunakan untuk memasang dan membuka senapang buatan sendiri itu.

Beliau menambah suspek kini ditahan reman sehingga 3 Nov depan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA