Proses menggali semula kubur Nur Aliya Syifa di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Besar oleh pakar patologi.

KUALA LUMPUR – Polis Alor Setar membuka kertas siasatan kes Nur Aliya Syifa, 5, yang meninggal dunia selepas terkena serpihan batu pengasah di dada kiri ketika bapanya sedang mengasah mata pisau mesin rumput di luar rumahnya, Jumaat lalu.

Serentak itu, polis dengan dihadiri pakar patologi menggali semula kubur kanak-kanak perempuan itu pagi ini, selepas mendapat kebenaran mahkamah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, jenazah kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat semula.

Kata beliau, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik selesai siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan kerana kecuaian, bapa kanak-kanak itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Jumaat lalu, mangsa, Nur Aliya Syifa yang cedera parah dibawa ke Klinik 1Malaysia sebelum dihantar ke HSB, tetapi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Jenazah mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Besar pada kira-kira jam 11 pagi Sabtu.

Sementara itu, menurut bapa mangsa, Murad, 40-an, ketika kejadian itu, dia berada di luar rumah mengasah mata pisau mesin rumputnya sementara Nur Aliya Syifa pada ketika itu masih berada di dalam rumah.

“Ketika sedang mengasah, tiba-tiba batu pengasah itu pecah dan serpihannya terpelanting.

“Pada mulanya ia terkena pada kereta dahulu sebelum terkena dada kiri Nur Aliya Syifa. Saya tidak sedar bila dia berada di luar rumah.

“Dalam keadaan anak yang berlumuran darah dan lemah itu, saya terus mengangkat dan membawanya ke klinik 1Malaysia sebelum dia dihantar ke HSB,” katanya. – MalaysiaGazette