KAJANG – Dua nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang penyerang dalam kejadian di Bandar Teknologi Kajang, di sini, malam tadi.

Mangsa, seorang wanita berusia 61 tahun dan pekerjanya, seorang lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan selepas seorang suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja melepaskan beberapa das tembakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Aisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, ketika kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, wanita berkenaan yang juga majikan sebuah syarikat pengurup wang berada dalam kereta jenis Toyota Fortuner untuk menghantar pekerjanya, lelaki warga Pakistan.

Sebaik tiba di hadapan sebuah perhentian bas di Bandar Teknologi Kajang, katanya, suspek yang memandu Proto Waja tiba-tiba berhenti berhampiran kenderaan mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan.

“Wanita warga tempatan dan lelaki Pakistan itu mengalami kecederaan di muka. Kedua-duanya kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu diklafikasikan sebagai samun bersenjata api dan maklumat kejadian akan diperolehi sebaik mangsa selesai menerima rawatan.

“Siasatan di lokasi kejadian menemui beberapa kelongsong peluru. Kita percaya suspek terdiri lebih daripada seorang individu dan berdasarkan kepada pekerjaan mangsa, kita percaya motif kejadian adalah cubaan samun,” katanya. – MalaysiaGazette