KENANGAN. Rusli (kanan) bersama Muhamad Ali Hashim.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli korporat muda menganggap Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebagai pelopor pejuang jihad ekonomi di negara ini.

Datuk Seri Dr. Rusli Zaman yang juga Pengerusi Eksekutif Dubaiz Development Berhad (Dubaiz) juga menganggap allahyarham sebagai gurunya dalam perniagaan.

“Allahyarham merupakan manusia hebat dan dibawah pimpinan beliau Kumpulan JCorp berjaya dibina hingga menjadi organisasi korporat utama Malaysia melibatkan 280 syarikat (lapan tersenarai di Bursa Malaysia, satu di London Stock Exchange) dan lebih 65,000 pekerja,” ujarnya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurut Rusli, allahyarham juga pemimpin dalam pelbagai perniagaan termasuk bidang perubatan pakar.

Antara syarikat utama JCorp termasuk KFC Holdings Malaysia Bhd dan QSR Brands Bhd, pemilik rangkaian lebih 900 restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai.

Anak syarikat anak JCorp, KPJ Healthcare Bhd pula adalah pemimpin pasaran dalam bisnes perubatan pakar dengan lebih 20 buah hospital di Malaysia dan dua di Indonesia.

“Beliau juga merupakan seoaran penulis antara buku yang ditulis beliau dan kesemuanya sempat dihadiahkan kepada saya,” kata Rusli.

Antara buku hasil tulisan allahyarham ialah Membujur Lalu – Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan (1995); Bisnes Satu Cabang Jihad (2003) dan terbaharu Khalifah Ganti Superman (2011).

“Saat akhirnya hayatnya beliau memperjuangkan apakah erti jihad perniagaan dalam kehidupan dan meninggalkan cadangan wakaf korporat untuk kita semua sebagai Melayu Islam yang ingin berniaga.

“Secara pribadi beliau merupakan guru yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” ujar Rusli lagi.- MalaysiaGazette