Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohammad Sahar Mat Din. foto SAFWAN MANSOR, 31 OKTOBER 2017

PETALING JAYA – Teruskan usaha memajukan wakaf korporat.

Itu pesanan terakhir Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim pada kali terakhir mereka berjumpa dengan timbalannya, Mohammad Sahar Mat Din.

Menurut Mohammad Sahar, kelmarin beliau ada melawat allahyarham yang dalam keadaan uzur dan tidak mahu memaksa tokoh korporat itu untuk meneruskan kerja-kerja dan perjuangannya.

Pada pertemuan terakhir itu juga, Ali Hashim memaklumkan kepada beliau, harapannya agar wakaf korporat yang mampu menjadi alternatif kepada sistem ekonomi kapitalis itu terus dimajukan demi kepentingan umat Islam di Malaysia.

“Kali terakhir berjumpa dengan arwah kelmarin, saya memang sering berjumpa dengan beliau sekali atau dua kali seminggu. Meskipun dalam keadaan uzur, beliau tidak berhenti untuk bekerja dan berjuang. Yang menarik tentang beliau, beliau berjuang sehingga titisan darah terakhir.

“Perjuangan besar beliau sehingga di akhir-akhir usianya ialah memperjuangkan kaedah pembaharuan wakaf. Beliau memperkenalkan kaedah wakaf baharu yang diperkenalkan sebagai wakaf korporat.

“Amanat terakhir beliau agar institusi wakaf ini dimajukan melalui kaedah wakaf korporat ini yang pada beliau boleh memberi alternatif dalam kita mendepani ekonomi serta boleh menggantikan sistem ekonomi kapitalis,” ujarnya ketika ditemui malam ini.

Tambah Mohammad Sahar, ketokohan allahyarham dalam bidang korporat yang ditunjukkan sepanjang 28 tahun mengemudi JCorp membuktikan beliau merupakan seorang negarawan.

“Saya anggap dia sebagai negarawan kerana dia menghabiskan seluruh usianya untuk membela bangsa Melayu dan Islam melalui JCorp sepanjang 28 tahun penglibatan beliau sebagai CEO yang banyak mengubah pandangan masyarakat.

“Beliau merupakan seorang yang menekankan soal integriti dan amanah dalamkerja beliau. Sentiasa mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan diri sendiri dalam organisasi yang beliau terajui,” katanya. -MalaysiaGazette

Bekas peneraju JCorp meninggal dunia