KUALA LUMPUR – Dakwaan pembangkang yang menjaja cerita kononnya masyarakat India di Malaysia tidak diberi hak kerakyatan ternyata satu pembohongan.
Ini kerana, melalui kempen Mega MyDaftar hanya kira-kira 2,500 orang kaum India yang didapati tidak memiliki surat beranak dan kad pengenalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun bilangan masyarakat India hanya 7.4 peratus tetapi hak dan suara mereka tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.
“Mana ada 300,000 orang India tanpa warga negara? Pembangkang bawa isu ini sampai ke Parlimen Westminster kononnya kita aniayai kaum India.
“Ini terbukti hanyalah cerita dongeng. Segala dakwaan pembangkang tak betul, kononnya bawa masuk 40,000 orang Bangladesh sebagai pengundi sewaktu PRU-13, banyak cerita dongeng tak berasas,” katanya dalam ucapan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Kewarganegaraan kepada masyarakat India terpilih di Menara DBKL di sini hari ini.
Tegas Najib, kerajaan membela nasib masalah dokumentasi kerakyatan yang dihadapi masyarakat India di negara ini secara berfakta dan adil bukannya auta.
Sejak dilancarkan tahun 2010 hingga tahun 2016, MyDaftar telah menerima 12,326 permohonan kerakyatan dari masyarakat India, katanya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 7,126 permohonan telah diluluskan dimana 4,390 melibatkan dokumen kewarganegaraan dan 1,946 permohonan pendaftaran lewat kelahiran dan 790 permohonan MyKad.
Najib memahami masalah dokumentasi yang dihadapi oleh masyarakat India dan mengharapkan segalanya diselesaikan dengan pengumpulan dokumentasi oleh jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan.
“Saya sangat serius hendak menyelesaikan agenda ini, seperti disebut dalam Bajet 2018, kaum India memerlukan pemerkasaan, bukannya sedekah atau tabung amal. Saya harap parti politik masyarakat India perlu bekerjasama.
Tegas Perdana Menteri, kaum India boleh mendapat banyak manfaat jika mempunyai dokumen hak kerakyatan termasuk kemasukan dalam universiti awam, Bantuan Rakyat 1Malaysia, pinjaman Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia. – MalaysiaGazette