MRT

Kuala Lumpur- CIMB Research menjangkakan projek di bawah Bajet 2018 akan memberi manfaat kepada empat sektor utama seperti pengangkutan awam, jalanraya, perumahan awam dan infrastruktur air.

Menurut firma berkenaan, 73 peratus daripada projek bernilai RM210 bilion itu memberi fokus kepada rel termasuk keretapi berkelajuan tinggi (HSR) dan Keretapi Hubungan Pantai Timur (ECRL).

“Kami melihat rel, perumahan mampu milik, jalan raya dan lebuh raya serta infrastruktur air adalah segmen utama yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan terhadap projek berimpak tinggi dan perbelanjaan tahun hadapan,” katanya.

Tambah firma tersebut, nilai terkumpul sebanyak RM2019 bagi projek-projek di bawah Bajet 2018 merangkumi rel dan pengangkutan awam (73 peratus), infrastruktur luar bandar, inisitiatif pembiayaan awam (PFI) dan sekolah (19 peratus) manakala bakinya adalah meliputi projek jalan raya, perumahan awam dan infrastruktur air.

“Apa yang menariknya, projek MRT 3, dijangka disiapkan pada 2025, dua tahun lebih awal berbanding sasaran awal iaitu 2027,” katanya.-MalaysiaGazette