FGV

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) telah melantik Datuk Dr. Salmiah Ahmad dan Dr. Mohamed Nazeeb P. Alithambi sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas syarikat tersebut berkuatkuasa hari ini.

Salmiah mempunyai pengalaman luas bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang memegang pelbagai jawatan setelah berkhidmat selama 27 tahun.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia dari 2010 sehingga 2015 dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Nazeeb merupakan seorang veteran dalam industri peladangan yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun dengan Sime Darby.

Memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Agronomi daripada Universiti Malaya, Mohamed Nazeeb sebelum ini adalah Ketua Penyelidikan dan Pembangunan serta Ketua Penasihat Peladangan di Sime Darby Plantation.

Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, beliau yakin dengan pelantikan Salmiah dan Mohamed Nazeeb akan mengukuhkan lagi barisan ahli lembaga pengarah FGV.

“Kepakaran mereka dalam bidang masing-masing bakal membantu FGV maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan yang sama syarikat peladangan terbesar negara itu turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Mohd. Zafer Mohd. Hisham sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas berkuatkuasa hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast