Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Pengagungan terhadap bahasa selain Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini merupakan antara cabaran yang paling getir dihadapi hari ini.

Antara yang boleh dijadikan contoh, penggunaan Bahasa Inggeris bagi nama-nama tempat di sekitar ibu negara, Kuala Lumpur misalnya Bangsar Selatan yang ditukar menjadi Bangsar South dan Bukit Kiara yang ditukar menjadi Mount Kiara telah menimbulkan kebimbangan.

Justeru, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa  pihak berkuasa atau kerajaan tempatan yang meluluskan penggunaan Bahasa Inggeris pada nama-nama tempat tersebut, perlu memberi perhatian serius terhadap isu tersebut.

“Tanpa kita sedar kadang kala Bahasa Inggeris itu telah pun mengambil alih peranan Bahasa Melayu. Nampaknya orang Malaysia ini mengagung-agungkan Bahasa Inggeris lebih daripada bahasa kebangsaan sendiri.

“Sebagai contoh, pembangunan di Kuala Lumpur, Bangsar South, kenapa tidak diguna Bangsar Selatan? Dan banyak lagi kawasan seperti Mount Kiara, kenapa tak guna Bukit Kiara?

“Saya minta semua kerajaan tempatan supaya bukan saja buat pengakuan bahawa kita hendak memperkasakan bahasa tetapi tentang pelaksanaannya, kerajaan tempatan perlu ambil berat tentang perkara ini.

“Di papan-papan iklan contohnya, kita lihat lebih banyak utamakan Bahasa Inggeris seolah-olah Bahasa Melayu tidak ada pasaran, tarikan dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Nazri menekankan betapa pentingnya penjagaan dan pemuliharaan bahasa kebangsaan ini agar kemaraan Bahasa Inggeris tidak terus menjajah Bahasa Melayu.

Malah, tambah Nazri, tanggungjawab menjaga dan memulihara bahasa kebangsaan sudah mencapai tahap paling tertinggi bagi semua pihak hatta sebagai jalan jihad kepada rakyat negara ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan yang juga diketuai sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

“Jadi di masa-masa akan datang saya mahu pengurangan dari segi penggunaan Bahasa Inggeris ini. Pengisytiharan UNESCO itu jelas supaya kita menjaga bahasa kebangsaan kita daripada kemaraan Bahasa Inggeris yang mampu menggugat bahasa kebangsaan kita.

“Saya ingat sampai satu tahap untuk jihad menjaga bahasa kebangsaan ini. Jadi saya ingat elok kalau dicadangkan kalau kita nak memartabatkan bahasa kebangsaan ini, satu jawatankuasa yang menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan ini mestilah diketuai oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Terdahulu, Nazri merasmikan Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2017 bagi Sektor Pelancongan dan Kebudayaan di Panggung Eksperiman , Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.-MalaysiaGazette.