Sohaimi yang ditemui media di HospitalKPJ Damansara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan memaafkan lelaki yang menikamnya dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau yang masih menerima rawatan di Wad Hospital KPJ Damansara berkata, apa yang berlaku kepadanya dan biras beliau adalah takdir.

“Saya anggap ini takdir yang berlaku ke atas saya. Saya memaafkan tindakan suspek dan saya serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Diminta menceritakan kejadian itu, Sohaimi berkata, sebelum kejadian, beliau pulang ke rumah dan dimaklumkan oleh birasnya terkena batu yang dibaling seorang lelaki muda yang juga jiran hadapan rumahnya.

“Lalu saya ajak biras dan pemandu saya pergi ke rumah jiran, nak jumpa dengan keluarga budak muda itu. Saya bagi salam, ketika itu saya berdiri dalam jarak lima kaki dari pintu rumah jiran itu.

“Emak kepada suspek buka pintu, tiba-tiba suspek meluru ke arah saya sambil memegang pisau dan menikam saya.

“Saya tak perasan itu pisau, saya ingat saya ditumbuk atau ditampar, tapi nasib saya tidak baik, pisau itu terkena leher belakang, masa itu saya pakai topi… dua tikaman di belakang telinga, leher dan bahu,” katanya.

Selepas itu, menurut Sohaimi, keadaan menjadi kelam kabut dan ketika itu pemandunya menariknya serta biras yang turut terkena tikaman di bahagian muka.

Menurut beliau, dalam keadaan berdarah dan cedera, pemandunya membawa mereka ke hospital untuk rawatan.

“Di hospital, doktor lakukan CT Scan dan pembedahan. Kedalaman luka itu dalam 10 sentimeter. Nasib baik tidak kena saluran darah utama, kalau tidak akan beri kesan lain.

“Biras saya pula kena 30 jahitan di mukanya dan kami berdua dalam keadaan stabil serta masih dalam rawatan rapi oleh doktor,” katanya.

Ditanya adakah beliau pernah diancam suspek, yang dipercayai kurang siuman, Sohaimi berkata, sebelum ini keretanya pernah disimbah cat kuning oleh lelaki itu dan memecahkan cermin hadapan kereta.

Ketika itu juga, beliau membuat dua laporan polis dan suspek ditangkap serta dikenakan hukuman denda.

Mengenai hubungannya dengan jiran, beliau memberitahu, keluarganya dengan keluarga suspek tidak ada apa-apa masalah, begitu juga dengan suspek tidak pernah bergaduh.

“Saya mengenali suspek dan saya percaya suspek pun kenal saya. Dia buat hal dia saja. Motif dan tujuan saya diserang, saya tidak pasti. Tapi ada kalanya suspek mengeluarkan perkataan memaki hamun terhadap pemandu dan biras saya, tapi dengan saya tidak ada langsung komunikasi berlaku. Kami tak pernah ada isu,” katanya. – MalaysiaGazette

Sohaimi Shahadan ditikam orang kurang siuman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast