Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) , Ramesh Rao
KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa jawatankuasa khas dan bebas ditubuhkan bagi memantau pengagihan peruntukan untuk masyarakat India dalam Bajet 2018 benar-benar sampai kepada penerima yang layak.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, gesaan merupakan permintaan komuniti India sendiri yang meminta pengagihan dan pengurusan dana itu lebih telus.

“Sejak 2014 hingga pengumuman terbaru Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan SEDIC, SEED, Tekun dan terkini ialah Pelan Induk India Malaysia (MIB).

“Semua inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah langkah serius untuk meningkatkan masyarakat India, ” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa insentif baharu untuk membangunkan komuniti India sejajar dengan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.

Antaranya Permodalan Nasional Berhad  akan membuat pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia terhad kepada 30,000 untuk setiap pelabur, TEKUN memperuntuk RM50juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarkat India serta RM50,000 diperuntukkan untuk program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.

Selain itu, dana sebanyak RM500 juta diperuntuk untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan ditawarkan kepada 100,000 isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India terhad kepada 5,000 unit setiap peserta.

Ramesh juga berkata, untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada komuniti India dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan perlu memberi pencerahan terhadap beberapa persoalan berhubung pelbagai program pembangunan untuk masyarakat India sebelum ini.

Antaranya bagaimana dan siapa yang mendapat manfaat daripada dana RM250 juta yang diperolehi oleh Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) sejak 2014.

“SEDIC perlu mendedahkan maklumat mengenai NGO, organisasi atau syarikat yang diberi dana dan berapa banyak dana yang diberikan kepada semua syarikat bagi menjalankan program untuk pemuda dan masyarakat India.

“SEDIC perlu menunjukkan bagaimana organisasi atau organisasi ini mendapat manfaat daripada program-program ini,” katanya.

Katanya lagi, penuhuhan jawatankuasa bebas itu bagi memantau proses dan mengenal pastii kebocoran atau penyalahgunaan dana untuk masyarakat India sejak 2014 diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

“Semua butir-butir laporan kewangan perlu diterbitkan untuk pandangan awam yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara untuk memastikan tidak ada penyalahgunaan dana.

“Butiran NGO mesti diterbitkan supaya masyarakat boleh menghubungi dan menyertai program yang ditawarkan dengan menggunakan pembiayaan SEDIC.

“Saya amat yakin mekanisme ini akan memberikan kepercayaan yang lebih besar terhadap program yang diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.