Datuk Seri ketika ditahan untuk siasatan dakwaan memukul anggota Rela.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM10,000 didakwa ditawarkan oleh beberapa individu tertentu kepada empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) supaya menarik laporan polis terhadap lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang terlibat dalam kes pukul baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan oleh Rela sendiri yang sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara tersebut.

Menurut kenyataan agensi itu, empat anggotanya bergilir memberi keterangan mulai 12.45 tengah hari sehingga 3.30 petang Selasa.

Empat anggota itu ialah Melvin Cheong Mun Khai, 19; Lee Weng Poh, 27; Leong Jiun Jie, 21, serta Ketua Rela Daerah Ampang, Ho Hoong Keong, 55.

Kelmarin, Ho Hoong Keong dipetik China Press berkata, sejak Ahad hingga Isnin lalu, beliau dihubungi empat lelaki yang menawarkan masing-masing RM10,000 kepada beliau serta tiga anggota Rela dipukul itu untuk menarik balik laporan polis dibuat mereka.

Ho bersama tiga mangsa itu bagaimanapun berikrar tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa jahat atau menerima wang ditawarkan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Cheong, Lee dan Leong cedera di kepala, mata serta perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek bergelar “Datuk Seri” itu.

Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.

Suspek bergelar “Datuk Seri” itu menyerah diri pada petang Isnin lalu dan majistret membenarkan permohonan reman selama empat hari ke atasnya, semalam. – MalaysiaGazette