Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Sosial Negara, Datuk Seri Zahid Hamidi berucap pada Town Hall Majlis Sosial Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggariskan empat elemen utama bagi kerajaan dan masyarakat menangani permasalah sosial yang semakin meruncing kini.

Ujarnya, terlalu banyak isu-isu sosial yang semakin menghantui negara kini tidak dibanteras dengan baik.

Malaysia katanya, perlu bertindak secara reaktif dan efisyen dalam usaha menangani isu-isu ini dari terus menjadi nanah yang membusuk dalam masyarakat.

“Kita perlu meningkatkan pendidikan agama kepada anak-anak kita. Hanya dengan pengetahuan agama yang tidak disalahgunakan atau diseleweng dan ditunjangi dengan amalan berterusan, kita pasti dapat membendung gejala sosial,” katanya dalam Town Hall Majlis Sosial bertajuk ‘Menangani Kebajetan Sosial Cegah Sebelum Parah’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Sosial Negara, Datuk Seri Zahid Hamidi berucap pada Town Hall Majlis Sosial Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2017

Ahmad Zahid berkata, sebagai ibubapa nilai-nilai keagamaan perlu diterapkan dalam sanubari anak-anak agar dapat menepis godaan masalah sosial dari pelbagai sudut.

Antara lain, beliau turut menggariskan aspek memperkasakan institusi kekeluargaan dan masyarakat dalam mendepani masalah ini bersama-sama.

Peranan keluarga tambah Zahid adalah segalanya dalam menentukan perilaku anak-anak yang bebas daripada masalah sosial.

“Ketiga, penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Ini juga saling berkait rapat dengan institusi kekeluargaan. Masyarakat yang saling bertegur sapa, hormat menghormati tanpa mengira warna kulit akan mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni,” ujar Menteri Dalam Negeri itu.

Malah Zahid turut memuji penubuhan Institut Penyelidikan Sosioekonomi (SERI) dan menaik taraf Institusi Kajian Etnik (KITA-UKM) yang dilihat sebagai satu platform dalam menangani masalah sosial di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara, turut berkongsi mengenai statistik kes buli yang berlaku tahun ini.

Daripada Januari hingga Jun tahun ini, 1,054 orang murid dilaporkan terlibat dalam aktiviti salah laku buli di sekolah.

Malah pada tahun lalu juga, sejumlah 30,744 individu dikesan terlibat dalam najis dadah dimana 22,903 daripadanya adalah kes baharu.

Sementara 7,921 daripada jumlah itu adalah kes berulang. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast