ISKANDAR PUTERI – Kilang baja najis ayam yang didapati menjadi punca pencemaran ammonia di Sungai Johor sehingga menyebabkan gangguan bekalan air bakal berdepan tindakan saman atau kompaun daripada kerajaan negeri Johor.

Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, keputusan itu diambil hasil mesyuarat majlis kerajaan negeri pada hari ini selepas mengambil kira beberapa perkara.

Menurutnya, bagi mengambil tindakan tersebut, kerajaan negeri menerusi Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) sedang berbincang dengan pegawai perundangan negeri bagi memutuskan tindakan di bawah Enakmen Bekalan Air 2014.

“Kerajaan negeri memandang berat insiden yang berlaku dan bagi mengelak kejadian berulang, kerajaan negeri dengan jelas dan tegas hari ini mengarahkan operasi ladang dan kilang itu diberhentikan serta merta,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed.

Sebelum ini dilaporkan, tiga Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong ditutup sementara menyebabkan hampir dua juta pengguna membabitkan 360,000 akaun terjejas.

Penutupan loji berkenaan pada Jumaat lalu berikutan berlakunya pencemaran ammonia yang dikesan berlaku di Sungai Johor yang berpunca daripada kilang baja ayam najis dan ladang ayam di Mukim Sedenak, Kulai dimiliki syarikat sama.

Hasni berkata, pihak terlibat juga diberikan tempih enam bulan bagi proses perpindahan dan pembersihan.

Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan negeri turut memutuskan untuk tidak meluluskan permohonan aktiviti perlombongan pasir di semua kawasan tadahan air sejajar usaha menjaga kualiti air. – MalaysiaGazette.