KWSP
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan mesej audio yang kini tersebar di media sosial dan aplikasi mudah alih WhatsApp yang mendakwa penamaan ahli telah digantikan dengan nama orang lain yang tiada kaitan hubungan, sebagai palsu dan tidak berasas sama sekali.

Dalam kenyataannya, KWSP memandang serius tindakan menyebarkan maklumat dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan ahli, serta akan mengambil tindakan tegas sebagaimana diperlukan.

“Siasatan kami tidak menemui sebarang rekod mengenai kes seperti yang dinyatakan oleh individu dalam mesej audio tersebut.

“Sekiranya ahli mendapati maklumat penamaan mereka tidak tepat, ahli diminta supaya membuat aduan terus kepada KWSP supaya masalah dapat diselesaikan.

“Ahli digesa supaya tidak terpengaruh dengan mesej palsu seperti ini serta tidak menyebarkan mesej di laman sosial mahupun melalui WhatsApp,” katanya.

Menurut KWSP, proses penamaan adalah sulit yang mana hanya ahli sendiri yang dibenarkan membuat perubahan atau pengemaskinian ke atas penama mereka.

Ahli juga dikehendaki untuk hadir sendiri ke cawangan KWSP kerana cap ibu jari mereka diperlukan sebagai pengesahan proses penamaan.

Ahli digalakkan untuk sentiasa menyemak akaun KWSP mereka dan hadir ke mana-mana cawangan KWSP sekiranya berhasrat untuk mengemaskini butiran penamaan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast