Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Sosial Negara, Datuk Seri Zahid Hamidi berswafoto bersama para peserta yang hadir pada Town Hall Majlis Sosial Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak kini ditugaskan untuk mengetuai Jawatankuasa Pencegahan Jenayah Siber bagi mengekang peningkatan kes jenayah siber di negara ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu acara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

“Saya ingin mengumumkan bahawa menteri yang akan mempengerusikan (jawatankuasa mencegah) Jenayah Siber adalah Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak. Ini pengumuman daripada saya.

“Saya akan bawa (pelantikan Salleh Said Keruak) ke Jemaah Menteri,” katanya di hadapan lebih 500 peserta Town Hall Majlis Sosial bertajuk ‘Menangani Kebajetan Sosial Cegah Sebelum Parah’ yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Negara katanya, tidak boleh lari daripada menangani permasalah ini kerana berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebanyak 2,391 aduan diterima melibatkan jenayah siber yang terdiri daripada pelbagai faktor.

Antaranya melibatkan 634 aduan jelik, 399 aduan palsu, 320 aduan lucah, 306 aduan fitnah, 146 pemerasan seksual, 141 aduan penggodaman, 120 aduan penipuan internet, 56 aduan pembelian dalam talian dan 13 aduan mengancam, serta 256 lagi adalah lain-lain aduan.

Mengambil contoh di China, teknologi siber di negara itu membolehkan penjenayah ditangkap dengan hanya kapasiti 3.5 minit.

“Ertinya teknologi boleh digunakan untuk membanteras jenayah, kita harus lebih mengatasi jenayah digital ” katanya.

Untuk rekod, jenayah siber didefinisikan sebagai daripada unsur penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian maklumat, penggodaman dan lain-lain.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pada Jun lalu, menyarankan agar kerajaan mengukuhkan kerjasama  dengan agensi penguatkuasaan serantau dan global dalam usaha  memerangi jenayah siber.

Ujarnya, kerjasama itu penting bagi memastikan pesalah jenayah siber diheret ke muka pengadilan. -MalaysiaGazette.