ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad

GEORGETOWN – Wakil rakyat BN hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang bercadang membayar bonus RM2,000 kepada penjawat awam negeri pada akhir tahun ini menerusi peruntukan Bajet 2018.

ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, tidak pernah dalam sejarah apabila bajet untuk anggaran perbelanjaan tahun depan digunakan pada tahun semasa.

“Kita bercakap tentang Rang Undang-undang Perbelanjaan 2018. Jadi, kalau mereka menggunakan peruntukan tahun depan untuk tahun ini, jadi tak kena, melainkan mereka gunakan duit yang ada pada tahun 2017, tapi tidak pula dibentangkan dalam Bajet 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2018 oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan bonus RM2,000 untuk anggota perkhidmatan awam negeri yang mempunyai rekod disiplin yang baik dan akan dibuat akhir tahun ini kepada hampir 8,000 penjawat awam negeri.

Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2018 bertemakan ‘Belanjawan Marhaen’ berjumlah RM 1.25 bilion dengan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta defisit tahun lepas.

Muhamad Farid berkata, tindakan kerajaan negeri itu juga jelas hendak memperlekeh dan memperkecilkan kerajaan persekutuan kerana hanya memberi bantuan khas RM1,500 kepada penjawat awam yang akan dibayar secara berperingkat iaitu RM1,000 pada Januari tahun depan dan RM500 sebelum Aidilfitri.

Beliau turut menyifatkan Bajet 2018 kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai gagal kerana tidak memberi penekanan terhadap tiga isu utama yang dihadapi rakyat di negeri ini iaitu kesesakan lalu lintas, masalah banjir dan perumahan.

“Sebenarnya ada beberapa isu penting yang tidak ditekankan. Saya dapat melihat ketidakseimbangan dari segi bajet ini apabila infrastruktur yang dibuat hanya memfokuskan kepada kawasan pekan dan bukan di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata kerajaan negeri tidak menyelesaikan masalah utama yang dihadapi oleh penjaja kerana tidak menyediakan alternatif untuk mereka berniaga.

Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri memberi pengecualian untuk lesen penjaja tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan itu secara menyeluruh kerana kebanyakan premis mereka dirobohkan semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“Isu yang penting tidak diselesaikan. Kerajaan negeri dilihat hanya ‘menggula-gulakan’ penjaja. Ini adalah satu sikap yang agak pasif. Ini bajet yang tidak seimbang, (bersifat) populis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast