Johari Abdul Ghani diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Sabin Samitah (tiga kanan) hadir pada Majlis Perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan anjuran LHDN di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Badan-badan profesional dan agen-agen cukai negara diingatkan agar tidak silap menterjemahkan undang-undang percukaian negara sehingga menjejaskan pembayaran yang dibuat oleh syarikat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mana-mana badan atau agen percukaian yang tidak memahami tentang undang-undang pengiraan dan bayaran cukai diminta segera berjumpa dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut beliau, perkara itu perlu ditangani kerana kesilapan  agen percukaian menterjemah undang-undang cukai menyebabkan kesukaran kepada syarikat-syarikat.

“Ini kerana, ada kes syarikat membuat pembayaran cukai berdasarkan yang dibuat oleh agen-agen. Apabila LHDN buat audit semula dan terdapat tunggakan, di sini banyak timbul masalah, lebih-lebih lagi kalau jumlah cukai itu banyak.

“Ada pula syarikat yang terlebih bayar disebabkan kesilapan ini. Jadi saya nasihat jumpa LHDN untuk elak salah dan pelanggan tidak jadi mangsa,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017.

Tegasnya, kalau pun LHDN membawa kes seumpama ini ke mahkamah dan menang, tidak guna juga jika syarikat terbabit tidak mampu bayar.

“Kerajaan tidak mahu LHDN tutup syarikat, sebaliknya patuh dalam pembayaran cukai. Kalau tidak susahlah hendak jadi negara maju.

“Jika sudah jumpa LHDN pun masih bercanggah, jumpa saya. Saya sentiasa terbuka untuk membantu terutama membabitkan kes-kes perniagaan,” tambah Johari sambil menyatakan kes seumpama itu turut melibatkan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. – MalaysiaGazette