Hishamuddin Hussein

PARLIMEN – Malaysia menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan Kuwait untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan konflik dalaman antara Qatar dengan negara-negara Teluk.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, keyakinan kerajaan selaras dengan pendirian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dimana Kuwait mampu untuk memainkan peranan dalam meredakan ketagangan di antara negara berkenaan.

“Usaha untuk memastikan pendamaian telah dikenalpasti di mana Kuwait diminta sebagai pihak perantara, Turki, Amerika Syarikat telah mengambil inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian menyatupadukan apa yang telah berlaku, kerana isu krisis di Qatar bukan mudah dan ia cukup kompleks.

“Kita kena beri peluang kepada Kuwait untuk meredakan ketagangan antara negara teluk,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan ahli parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Khamis.

Terdahulu, Nazlan meminta kementerian menyatakan apakah kesan lawatan Emir Qatar ke Malaysia daripada segi hubungan dua hala dan kesannya terhadap Malaysia dengan Negara-negara kuartet yang berselisih dengan Qatar termasuklah Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata setakat ini hubungan Malaysia dengan negara kuartet lain tidak terjejas berikutan hubungan baik kerajaan dengan Qatar.

“Hubungan Malaysia dengan Qatar bukan hubungan baru, ia sudah terjalin sejak sekian lama, pada 2009 dulunya Qatar telah adakan lawatan ke Malaysia, hubungan antara kita dan Qatar adalah hubungan perdagangan dan ekonomi dua negara sudah 43 tahun,” jelasnya. – MalaysiaGazette