KUALA LUMPUR – Polis mengingatkan penyokong supaya tidak membawa barang terlarang, terutama bahan letupan dan senjata pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya tidak mahu insiden membaling mercun membabitkan tiga remaja lelaki ketika perlawanan bola sepak Sukan SEA sebelum ini berulang.

“Justeru, kita akan menempatkan lebih 1,500 pegawai dan anggota polis termasuk pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Berkuda untuk mengawal keselamatan secara menyeluruh di kawasan stadium itu.

“Pemeriksaan dan tapisan rapi akan turut dijalankan di setiap pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan terlarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium seperti suar, batang besi atau kayu, payung, pemetik api dan botol air minuman.

Malah katanya, pihaknya juga tidak membenarkan sebarang sepanduk atau kain rentang yang berbaur hasutan, provokasi dan politik, termasuk hanya 10 gendang boleh digunakan sepanjang perlawanan nanti.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan itu. – MalaysiaGazette