Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika majlis pelancaran Sukarelawan Sekolah Malaysia 1M4U di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini hari ini.


PUTRAJAYA – Program Sukarelawan Sekolah Malaysia 1M4U, yang dilaksanakan melalui kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) dan Kementerian Pendidikan, akan diwujudkan di 140 buah sekolah di seluruh negara tahun depan, kata Ketua Setiausaha, Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata berkata program 10 sekolah di setiap negeri itu selaras dengan visi meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia seawal usia 13 hingga 17 tahun, berbanding fokus 1M4U sebelum ini kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun.

“Melalui program ini, aktiviti berkonsepkan kesukarelawanan akan diterapkan di peringkat sekolah melalui aktiviti kokurikulum sedia ada,” katanya semasa melancarkan Sukarelawan Sekolah Malaysia 1M4U di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Rudy Malik.

Ali berkata kira-kira tiga juta sukarelawan berdaftar dengan 1M4U, satu daripada inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, sejak ditubuhkan pada 2012 dan merupakan platform sukarelawan terbesar di negara ini yang menyemarakkan semangat kesukarelawanan di hati belia melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi dan tidak konvesional.

“Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja untuk memupuk semangat keprihatinan masyarakat tetapi juga mewujudkan perpaduan dalam kalangan belia bagi mendorong perubahan positif dalam komuniti tempatan,\” kata Ali.

Beliau berkata antara program berimpak tinggi yang dilaksanakan 1M4U termasuk kempen ‘Prihatin’ yang membaik pulih rumah golongan memerlukan, program ‘Better City’ bagi menaik taraf kemudahan awam, dan program ‘Go Green’ dengan menanam pokok bagi mengekalkan kehijauan alam.

Maklumat lanjut mengenai Sukarelawan Sekolah 1M4U boleh diperolehi di laman sesawang www.im4u.my atau laman Facebook 1MalaysiaForYouth atau Instagram 1m4youth.

— BERNAMA