Liang Teck Meng

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan tidak mahu peduli dengan gimik politik pembangkang yang kelihatan semakin teruja ‘menghasut’ rakyat demi memenangi PRU-14.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, komponen Barisan Nasional (BN) itu akan terus mendahulukan kebajikan secara berterusan untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Ketika ini kami di BN lebih berminat untuk melakukan sesuatu yang realistik daripada berterusan bermain politik. Cukup-cukuplah dengan retorik selama ini.

“Kebajikan rakyat lebih penting. Jangan buang masa dengan asyik politiking sahaja. Kita sudah ada bajet yang cukup baik bagi faedah rakkat dan kami sedang sibuk untuk melaksanakan bajet tersebut. Itu yang diperlukan oleh rakyat dan realistik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Liang Teck Meng bercakap pada sidang media mengenai Persidangan Perwakilan Nasional ke 46 di Menara PGRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2017

Beliau berkata demikian selepas disoal berhubung perancangan parti Gerakan dalam mengenalpasti kerusi dan calon-calon PRU-14.

Ia ekoran pakatan pembangkang dilihat kini sudah aktif menamakan calon-calon mereka untuk bertanding di negeri Johor pada PRU-14.

Menurut Teck Meng, sejak daripada awal pembangkang hanya berminat dengan kuasa politik dan menang besar pada PRU-14.

“Gerakan mahu pun BN belum membuat pengumuman berhubung kerusi dan calon kerana ketika ini kami masih sibuk dengan agenda rakyat.

“Lagi pun pembangkang ini hanya omong-omong kosong sahaja kerana lebih banyak bercakap dan bercita-cita besar tetapi pada akhirnya akan bergaduh sesama sendiri. Contohnya, siapa yang menjadi pilihan mereka untuk menjadi Pengerusi Pakatan Harapan.

“Sehingga kini masih menjadi teka-teki. Adakah Tun Mahathir atau Mat Sabu? Mereka sibuk untuk menentukan calon tetapi kemudian akan ‘bergaduh’ siapa yang layak untuk memegang kuasa. Kabinet bayangan pun tidak praktikal, siapa jadi Perdana Menteri?

“Mana sebenarnya kepentingan rakyat dalam perkara ini? Rakyat pada akhirnya akan bosan malah ketika ini semakin celik. Jangan buang masa bercakap tentang mereka (pembangkang) ini,” tegasnya.

Tambah beliau, BN termasuk Gerakan tidak goyah dengan sandiwara politik pembangkang sebaliknya mahu fokus kepada agenda rakyat.

Dalam pada itu, partinya akan mengadakan Persidangan Perwakilan Nasional yang ke-46 selama dua hari pada 11 dan 12 November di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM.

Bertemakan ‘Satu Negara, Sehati, Sejiwa’ akan turut dihadiri oleh 2,430 orang yang merangkumi perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan.

“Kita akan mempunyai sekurang-kurangnya 20 resolusi yang akan diperdebatkan sebelum dipersetujui oleh perwakilan. Walaupun PRU-14 semakin dekat namun topik perbincangan akan merangkumi semua aspek.

“Presiden BN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN dijangka akan merasmikan persidangan kali ini bersama-sama Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong pada 12 November ini,” jelasnya.- MalaysiaGazette

Comments are closed.