PHNOM PENH – Malaysia antara negara terawal yang melihat prospek pelaburan di Kemboja dengan jumlah pelaburan ke negara jiran serantau itu sebanyak AS$3.4 bilion sejak 1994, kata Duta Malaysia Ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek.
Malaysia terlibat dalam banyak sektor di Kemboja, antaranya perbankan, pembinaan, penerbangan, media, perkilangan dan banyak lagi.
“Statistik menunjukkan, sejak tahun 1994, Malaysia adalah pelabur ke-7 terbesar di Cambodia dengan jumlah pelaburan bernilai lebih kurang AS$ 3.4 bilion,” katanya pada sidang media bersempena Majlis Pelancaran Rangkaian Kedua Hotel Nagaworld milik usahawan Malaysia di Phnom Penh, hari ini.
Menurut Hasan, menerusi sokongan kerajaan Malaysia, seramai 150 usahawan tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di Kemboja dengan janaan ekonomi sehingga RM800 juta setahun.
“Kerajaan Kemboja menyambut baik usaha perniagaan dari negara kita berikutan mengembangkan ekonomi mereka selain membuka peluang perniagaan terhadap rakyat Kemboja,” ujarnya lagi.
Katanya, setakat ini seramai 2,000 rakyat Malaysia bekerja di Kemboja dalam pelbagai perusahaan.
Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan sudah melaksanakan ribuan program kebajikan di Kemboja yang membabitkan masyarakat Islam di negara terbabit.
Katanya, ia seperti pembinaan sekolah, madrasah, surau, masjid, bantuan kewangan, klinik kesihatan, hospital, pusat perkhidmatan pembuatan dan pengagihan daging korban. – MalaysiaGazette