Beberapa pelajar Sek. Men. Keb. Datuk Haji Ahmad Said dilihat berseluar pendek ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan banjir yang melanda kawasan Sg. Dua, Butterworth. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017

SEBERANG PERAI – Sejumlah 159 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Datuk Ahmad Said di Sungai Dua dibawa memasuki ke dewan peperiksaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (SUV) dan lori.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, air dipercayai naik sehingga ke paras pinggang membuatkan semua pelajar di situ gagal untuk memasuki sekolah berkenaan.

Bagaimanapun seramai 40 terdiri daripada 20 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan di sekolah itu sudah berada di sana kerana tinggal di asrama yang disediakan pihak sekolah.

Seorang pelajar Sek. Men. Keb. Datuk Haji Ahmad Said dilihat lori yang membawa pelajar-pelajar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan banjir yang melanda kawasan Sg. Dua, Butterworth. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017

Manakala baki daripada jumlah itu disediakan lori dan SUV bagi memasuki dewan peperiksaan.

Seawal jam 6.30 pagi, pelajar ini mulai berada di persimpangan Jalan Seri Murni bagi memastikan mereka dapat dibawa masuk ke dewan peperiksaan.

Muhamad Alif Mohd Sorib. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017

Menurut Muhamad Alif Mohd Sorib, 17, beliau terpaksa keluar seawal jam 6 pagi untuk sampai ke sekolah.

Ia sebagai persediaan kerana mendapati sekolah sudah dinaiki air.

“Banjir sebabkan kami susah nak masuk sekolah untuk menduduki peperiksaan. Saya kena pakai baju lain untuk ke sekolah dan ganti dengan pakaian seragam sekolah nanti.

“Peristiwa menduduki peperiksaan semasa banjir akan saya ingat sampai bila-bila. Apapun saya akan buat yang terbaik untuk masa depan saya dan keluarga,” katanya selepas menaiki SUV ke dewan peperiksaan.

Nurul Farhanim Fadhil. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017

Seorang lagi pelajar, Nurul Farhanim Fadhil agak sebak mengenangkan nasib beliau dan rakan-rakan yang terpaksa menghadapi banjir untuk ke dewan peperiksaan.

Ujarnya, ia satu pengalaman yang tidak akan dilupakan disaat beliau menghadapi SPM.

“Hari ini hari pertama saya ambil SPM, saya keluar dari rumah paras air lulut, rasa sedih sebab nak hadapi SPM dan terpaksa melalui situasi mencabar ini. Saya akan berusaha yang terbaik mengenangkan situasi yang saya hadapi sekarang. Ia tidak akan mematahkan semangat saya,” katanya yang sebak menceritakan situasi yang terpaksa dihadapi beliau hari ini.

Memasuki hari pertama SPM, semua pelajar di seluruh negara hari ini dijadualkan bakal menduduki kertas Bahasa Melayu 1 dan Pendidikan Seni Visual kertas 1.

Manakala kertas Bahasa Melayu 2 di sesi petang.

Difahamkan paras air naik mendadak disebabkan Empangan Padang Chempedak di Tasik Gelugor pecah dan memasuki Sungai Kreh. -MalaysiaGazette.