JOHOR BAHRU – Tiga suspek utama rakyat Bangladesh termasuk teman lelaki seorang wanita tempatan yang disyaki melacurkan dua anak perempuannya masing-masing berusia 8 dan 10 tahun sudah dikenal pasti.
Sehubungan itu, polis negeri ini sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk mempertingkatkan usaha untuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada dalam negara ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, polis mengenalpasti identiti ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu menerusi pasport mereka.
“Meskipun belum dapat menahan mereka, kita sudah berjaya mengenalpasti suspek dan percaya akan dapat menahan mereka dalam masa terdekat,” katanya selepas prapelancaran Hari Keluarga Ceria Bersama PDRMCare di IPK Johor di sini hari ini.
Ditanya mengenai dua kanak-kanak yang menjadi mangsa pelacuran itu, beliau berkata, mereka berada dalam keadaan stabil walaupun masih trauma dan kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pada 25 Oktober lalu, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun kerana disyaki melacurkan dua anak perempuannya kepada tiga lelaki asing di sebuah hotel bajet di bandar raya ini.
Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki Bangladesh berusia antara 28 hingga 42 tahun dan seorang lelaki tempatan yang merupakan majikan warga asing itu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette