Mohammad Amin Baco

MANILA – Pengganas utama warga Malaysia yang mempunyai pengalaman luas berperang di Pulau Mindanao, selatan Filipina merupakan ’emir’ kumpulan ultra radikal, Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Asia Tenggara, kata ketua polis Filipina hari ini.

Mohammad Amin Baco, 31, dari Sabah menggantikan Isnilon Hapilon, 51, yang terbunuh dalam konflik selama lima bulan antara Filipina dengan militan Islam di bandar Marawi ketika ia hampir berakhir.

“Amin Baco kini adalah pemimpin, bukan sahaja untuk baki kumpulan Maute tetapi juga sebagai emir ISIS Asia Tenggara,” kata Ketua Pengarah, Ronaldo de la Rosa kepada pemberita yang merujuk kepada kumpulan yang membekalkan pejuang untuk menyerang Marawi pada 23 Mei lalu.

Timbakan Ketua Pengarah, Rolando Mendez berkata, Mohammad Amin ialah ‘salah seorang pengganas paling berpengalaman’ di Filipina, merancang menyerang dan menyediakan latihan ketenteraan kepada militan tempatan selama beberapa tahun, lapor The Straits Times.

Mohammad Amin merupakan agen kumpulan Jemaah Islamiyah.

Sumber risikan berkata, dia dilatih oleh rakan senegaranya, Zulkifli Hir, alias Marwan, yang merupakan salah seorang pengganas paling dikehendaki sebelum terbunuh dalam serbuan polis dua tahun lalu.

Mohammad Amin tinggal berhampiran dengan tempat persembunyian Marwan di bandar Mamasapano, Mindanao semasa serbuan itu dilakukan namun berjaya mengelak daripada ditangkap, kata Mendez.

Para pegawai keselamatan berkata, Mohammad Amin terlibat dalam serangan Marawi tetapi mereka tidak pasti sama ada dia berjaya melepaskan diri atau mengetuai beberapa pertelingkahan di bandar itu.

De la Rosa berkata, kebanyakan maklumat baharu mengenai Mohammad Amin disediakan oleh Muhammad Ilham Syahputra, militan warga Indonesia yang ditahan di Marawi pada minggu lalu.

Pakar keselamatan, Rommel Banlaoi berkata, kehadiran Mohammad Amin merupakan ancaman besar berbanding Hapilon atau Mahmud Ahmad, bekas pensyarah universiti di Malaysia yang juga merupakan orang kedua Hapilon yang turut terbunuh di Marawi.

Mahmud lebih menjurus kepada ideologi dan penganjur berbanding menerajui pertempuran.

Mohammad Amin pula mempunyai pengalaman luas dalam pertempuran gerila. Dia juga mahir membuat bom, pengetahuan yang diwariskan kepada rekrut-rekrut.

Selain Mohammad Amin, pihak berkuasa keselamatan juga sedang memburu warga Malaysia, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 42, dan warga Indonesia yang hanya dikenali Qayyim. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast