Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Cabaran debat Nothing To Hide 3 yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak perlu dilayan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, Najib tidak perlu menyahut cabaran itu kerana penganjuran debat sebelum ini dilihat gagal mencapai objektif dan juga dilihat tidak selamat seperti berlaku pergaduhan dalam program terdahulu.

“Program Nothing To Hide 2.0 lalu telah berlaku kejadian baling kerusi, membakar suar serta perbalahan di dalam dan luar dewan.

“Secara jelas kita lihat kegagalan mereka menganjurkan satu program, baik dari segi pelaksanaan mahu pun tahap keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mahathir dalam catatan terbaharu dalam blognya mencabar Najib sekali lagi untuk berdebat secara terbuka melalui program Nothing To Hide 3 untuk membuktikan segala kritikannya terhadap kerajaan selama ini tidak benar.

Menurut Armand lagi, penganjuran program Nothing To Hide 2.0 sebelum ini telah menunjukkan kegagalan di mana tercetus tindakan provokasi melampau dalam kalangan ahli parti tersebut.

“Jadi bagi saya, perdana menteri tidak perlu layan cabaran Tun Mahathir. Lebih baik perdana menteri fokus gerak kerja membantu rakyat dan terus majukan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Armand berkata, pembangkang sering kali menuding jari kepada UMNO atas kegagalan mereka dalam menganjurkan sesuatu program.

Beliau berkata, menerusi program Nothing To Hide 2.0 sebelum ini, pelbagai fitnah dan makian dibuat terhadap UMNO bagi menutup kegagalan pelaksanaan program debat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast