Marouane Fellaini.

MANCHESTER – Bintang Manchester United, Marouane Fellaini dilaporkan telah menyaman New Balance (NB) sebanyak £2.1 juta selepas dia mendakwa but yang dipakai menyebabkan ‘kecederaan yang teruk’ kepada kakinya.

Pemain antarabangsa Belgium itu menandatangani perjanjian empat tahun dengan gergasi sukan tersebut pada 2012 tetapi telah membawa mereka ke mahkamah berikutan kesan kesakitan akibat but yang dipakainya.

Fellaini kini mahu menamatkan perjanjian £600,000 setahun (kira-kira £10,000 hingga £12,500 seminggu) dengan New Balance dan menukar kepada Nike sebelum musim lalu.

Menurut The Sun, Fellaini muncul di Mahkamah Tinggi London untuk menuntut ganti rugi, baru-baru ini.

Wakil undang-undang Fellaini mengatakan bahawa mereka juga menyaman NB atas faktor ‘kehilangan pekerjaan, kesulitan dan impak terhadap prestasi’ kepada anak guamnya.

Namun, NB dalam satu kenyataan menjelaskan, walaupun pihaknya tidak dapat memberi komen mengenai litigasi yang belum selesai, mereja dapat mengesahkan bahawa syarikat itu merancang untuk mempertahankan diri dan rekodnya yang telah lama cemerlang serta merangkumi keperluan atlet di seluruh dunia.

“NB yakin bahawa telah bertindak dengan wajar di atas perkhidmatan yang disediakan untuk Fellaini,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette