Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal diingatkan tidak mencampuri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penyelewengan RM7.5 bilion dengan mengaitkan keluarga Ketua Menteri Sabah.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, cubaan Mohd. Shafie itu jelas bertujuan mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap Ketua Menteri Sabah.

“Mohd. Shafie sepatutnya perlu menunggu perbicaraan di mahkamah untuk mengemukakan segala bukti bahawa beliau tidak bersalah, bukannya cuba mencampuri urusan siasatan SPRM yang sedang berjalan ketika ini.

“Beliau mempunyai peluang melantik peguam hebat dan terbaik dan ini adalah medan sebenar mengeluarkan hujah yang ada pada beliau dan bukannya berterusan mengatakan Shafie adalah mangsa politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Semporna itu, kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Sungai Intan, salah satu 70 projek di Sabah yang sedang disiasat oleh SPRM, telah dianugerahkan kepada ‘anak buah’ Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Mohd. Shafie mendedahkan perkara berkenaan semasa perbahasan Bajet 2018 dalam persidangan Dewan Rakyat, di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mohd Shafie Apdal

Zulkarnain juga mencabar Mohd. Shafie menyenaraikan peruntukan RM7.5 bilion yang dikhaskan untuk pembangunan rakyat luar bandar Sabah semasa beliau menerajui KKLW.

“Mohd. Shafie dilihat cuba lari dari topik asal mengenai kes salah guna kuasa yang membabitkan peruntukan RM7.5 billion yang kini sedang disiasat oleh SPRM.

“Adalah tidak logik sama sekali untuk cuba mengaitkan apa sahaja aktiviti perniagaan ahli keluarga dengan Ketua Menteri Sabah sedangkan Datuk Seri Musa Aman hanya terlibat di dalam pentadbiran Sabah sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast