Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa menyumbangkan sebahagian daripada kekayaan ahli keluarganya untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang memandang beliau kini pengerusi Pakatan Harapan.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, tidak keterlaluan jika 10 peratus disumbangkan daripada kekayaan keluarga Mahathir yang didakwa memiliki harta berbilion ringgit.

“Keluarga Mahathir diketahui umum kaya boleh menyumbangkan kira-kira 10 peratus daripada harta dan aset yang mereka ada untuk membantu mereka yang terjejas.

“Sudah pasti amat mudah untuk anak-beranak Mahathir memperuntukkan sedikit daripada wang mereka untuk mangsa banjir dan Mahathir perlu menjadi yang pertama memberikan sumbangan.

“Malah kekayaan keluarga Mahathir boleh digunakan sedikit untuk membantu mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramesh turut mempersoalkan ketidakhadiran Mahathir ketika negeri Pakatan Harapan itu dilanda bencana alam ketika ini memandangkan beliau adalah ketua sebuah gabungan pembangkang.

“Pemimpin kerajaan semua sudah turun ke Pulau Pinang, dan hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berlepas ke sana dan meninjau keadaan banjir dan mangsa banjir.

“Di manakah Mahathir? Sebagai pemimpin pakatan gabungan pembangkang, Mahathir sepatut paling awal datang ke Pulau Pinang dan hulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa ini,” katanya.

Katanya lagi, jika Mahathir masih enggan turun padang menemui dan membantu mangsa banjir, beliau perlu memberikan menyumbang kekayaan keluarganya kepada mereka yang terjejas.

“Eloklah Mahathir salurkan bantuan itu melalui tabung bencana di atas nama DAP Pulau Pinang bagi digunakan untuk mengatasi masalah banjir di negeri Pulau Mutiara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast