Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bergambar kenangan bersama pelajar sambil diiringi Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong (tiga kiri) pada Lawatan Kerja Rasmi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Penduduk di tiga buah negeri di utara digesa supaya mengambil langkah berhati-hati dalam menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketiga-tiga negeri itu adalah Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

Menurutnya, ia disebabkan pertukaran monsun yang berlaku ketika ini sukar untuk dijangka.

“Gelombang kedua yang diberitahu oleh Jabatan Meteorologi sehingga tamat pertukaran monsun ini. Jangkaan saya ia mungkin boleh berlaku sehingga penghujung November.

“Kita punya program meneka musim hujan dan banjir belum lagi siap sebab nak buat untuk teka negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dulu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi lawatan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Terdahulu, pada lawatan itu Wan Junaidi melawat tapak untuk cadangan membina tempat letak kereta serta projek bagi membesarkan sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan menganjurkan satu kolokium pada Januari tahun depan untuk membincangkan langkah-langkah bagi mengatasi masalah banjir di negara ini.

Katanya, kolokium itu akan mengundang pakar-pakar dari universiti dalam dan luar negara serta pihak Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) untuk memikirkan cara bagaimana Malaysia dapat dielakkan daripada berlakunya banjir. – MalaysiaGazette