Mangsa banjir, Musa Wan Teh. foto SAFWAN MANSOR, 08 NOVEMBER 2017

TASEK GELUGOR – ‘Saya rela untuk tinggal di rumah yang ditenggelami banjir semata-mata untuk mengawasi rumah dari dimasuki penyamun,’ demikian menurut seorang mangsa banjir, Musa Wan Teh, 50.

Jelasnya, ramai penduduk di sekitar kampung Lahar Yooi mengambil langkah untuk enggan berpindah kerana ini kali kedua kejadian kecurian berlaku sejak kali pertama banjir besar berlaku pada 2003.

“Kalau saya pindah ke pusat pemindahan banjir, kami risau dengan kelengkapan rumah dicuri. Mereka akan ambil kesempatan bila rumah tiada penghuni.

“Kami perjudian nyawa ahli keluarga sebab mahu pertahankan rumah dari dimasuki pencuri,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Beliau turut berkata, dia dan ahli keluarganya yang lain akan bergilir untuk mengawal rumah dua tingkat itu sepanjang banjir besar melanda kampung mereka.

Seperti Musa, Nor Jannah Adnan, 35, juga nekad untuk tidak berpindah berdasarkan kepada pengalaman yang dilalui 14 tahun lalu.

Peniaga Nasi Lemak, Nor Jannah Adnan. foto SAFWAN MANSOR, 08 NOVEMBER 2017

Ujarnya, pelbagai barangan antaranya termasuklah televisyen, perkakasan dapur malah motosikal turut hilang ekoran dicuri.

“Banyak barang rumah kami yang hilang, sebab itu kami tidak berganjak untuk kekal disini.

“Takut juga aspek keselamatan, sebab banjir ini akan ada ular keluar tapi faktor mendesak membuatkan kita sekeluarga terus tinggal dalam rumah ini,” kata peniaga nasi lemak ini.

Katanya lagi, pihak bomba dan penyelamat ada menasihat agar mereka berpindah ke kawasan yang telah ditetapkan, namun permintaan itu ditolak kerana ingin memastikan barang keperluan mereka selamat dan tidak terusik.

“Kalau kami ke pusat pemindahan akan menjadi terlalu sesak. Lebih baik tinggal disini,” katanya. -MalaysiaGazette.